Sunday 18 November 2012

Ertikan Kasih-sayang Itu!


                Prak! Terdengar sesuatu yang keras telah patah di belakang rumah saya. Saya bingkas bangun lalu mengintai di sebalik tirai di bilik untuk mengetahui apa yang berlaku. Biji-biji air jernih mula bertakung di mata kerana menahan sebak melihat jiran di belakang rumah saya dipukul oleh ayahnya dengan papan seterika sehingga papan tersebut patah menjadi dua.
                “Sakiit!!” itu sahaja perkataan yang terkeluar daripada mulut budak lelaki yang seusia dengan saya ketika itu. Saya memanggilnya Adi dan Adi merupakan rakan saya sejak kecil lagi disebabkan rumah saya sangat berdekatan dengan rumahnya. Hampir setiap petang kami akan bermain bersama-sama dan termasuklah abangnya yang berusia dua tahun tua daripada umur kami berdua. 

                “Itulah, Abi suruh kamu mengaji kamu sibuk pergi makan! Kalau kamu buat hal lagi siaplah Abi kerjakan kamu!!!” Hanya disebabkan Adi mendahulukan makan daripada membaca al-quran diperlakukan sebegitu rupa.  Saya hanya menyepi di sebalik tirai dan memerhatikan Adi yang masih menangis meraung kesakitan. Inilah rutin saya hampir setiap minggu, melihat rakan yang juga merupakan jiran dipukul, ditendang dan disebat dengan tali pinggang oleh ayahnya yang dipanggil sebagai ‘Abi’.

                Kadang-kala hanya disebabkan kesalahan Adi yang pulang lewat petang bermain bersama rakan-rakan akan membawa padah buatnya iaitu akan disepak oleh ayahnya di hadapan rumah dan  turut diperhatikan oleh jiran-jiran di situ. Adi yang berusia dalam lingkungan tujuh tahun ketika itu diperlakukan seperti  remaja yang melakukan kesalahan besar di mata masyarakat. Saya faham perasaannya namun apa yang boleh saya lakukan untuk membantunya pun saya tidak tahu kerana saya juga merupakan insan kecil yang hanya mampu untuk dengar dan taat akan suruhan mereka yang jauh lebih tua. Dalam usia tujuh tahun,manalah saya tahu untuk menegur apatah lagi untuk memberi nasihat dan pengajaran kepada mereka.

                Pernah juga saya  dengar daripada mulut emak saudara saya sendiri yang nenek Adi tidak sampai hati melihat cucunya dibesarkan dalam keadaan terus terseksa lalu neneknya meminta izin daripada kedua orang tua Adi untuk membesarkan Adi, namun keegoan yang menapak di hati Si ayah telah menyebabkan tawaran itu ditolak. Saya tahu ayahnya masih sayangkannya cuma mungkin Si ayah tidak mengerti dan mungkin tidak tahu bagaimana harus mencurahkan kasih-sayang tersebut. Berbeza saya lihat kasih-sayang yang dicurahkan kepada anak perempuannya yang muda satu tahun daripada kami. Anak perempuan itu sangat dijaga dengan baik, tidak pernah dijentik walau sedikit apatah lagi untuk memukulnya. Setiap pagi sebelum ke tempat kerja Si ayah akan mencium pipi dan dahi si anak perempuannya. Itu menjadi kehairanan bagi saya melihat perbezaan yang sangat melampau bagi saya. Apakah yang difikirkan oleh si ayah tentang anak-anak yang berlainan jantina? Adakah perlu dibezakan sampai ke tahap ini?

                Kini usia kami sudah menjangkau 20 tahun, namun kami masih menjadi rakan  tetapi tidaklah serapat dulu. Batasan pergaulan kerana jantina yang berbeza terutamanya yang bukan muhrim amatlah perlu saya jaga dengan rapi agar tidak menjadi fitnah untuk saya dan terhadap agama yang menjadi panduan sepanjang hidup saya. Adi kelihatan sangat berbeza daripada dulu. Dia menjadi seorang yang agak suka bersosial.  Sudah berapa kali dia bertukar pasangan pun saya tidak pasti. Ya! Saya akui dia mempunyai paras rupa yang agak tampan yang boleh menjadi tarikan mana-mana gadis namun itu bukanlah tiket yang boleh dia ambil sesuka hati untuk menarik hati gadis. Dia tahu dan sedar perbuatannya salah, sebab perkara ini pernah saya khabarkan padanya. Dia angguk dan mulutnya juga mengatakan dia tahu apa itu dosa namun mungkin banyak faktor yang mempengaruhi perubahannya itu. Saya hanya dapat bertemu muka dengannya apabila keluarganya ke rumah saya ataupun tatkala saya pulang ke kampung, dan dari situlah saya akan tahu perkembangannya daripada semasa ke semasa.

                Satu perkara yang masih melekat di minda saya apabila dia pernah mengatakan dia tidak suka dan bencikan ayahnya. Dia merasakan ayahnya tidak pernah menyenangi akan kehadirannya dan juga tidak pernah menyayanginya. Tersentak jiwa saya dengan pengakuannya. Dan sekarang pun dia jarang pulang dan bermalam di rumahnya kerana rumah yang wujud di hatinya hanyalah rumah neneknya dan ibu saudaranya. Kedua-dua insan ini yang sangat mengambil berat akan kehidupannya, yang akan menghulurkan sedikit sebanyak perbelanjaan untuknya, mereka yang menjadi tempat untuknya berlindung dan berteduh. Kasih-sayang mereka telah mendapat tempat di hati seorang cucu melebihi ibu dan ayahnya. Mungkin inilah hikmah dan natijah daripada ‘didikan’ seorang ayah terhadap anak lelakinya. Semoga Allah membuka dan melembutkan hati ayahnya untuk berubah dan memahami apa erti bahagia seorang anak.